
Mengulas kempen Akmal berhubung gesaan boikot KK Mart di seluruh negara, Tangau berkata Adun Merlimau itu sepatutnya mendesak duta China ke Malaysia dipanggil berkait kontroversi berkenaan.
Sambil menyeru kepada tindakan lebih seimbang, bekas presiden Upko berkata penarikan pantas produk itu oleh KK Mart perlu diambil kira, disusuli permohonan maaf.
“Kenapa kecuaian mereka dianggap sebagai berniat jahat? Kenapa menuntut atau mengarahkan kedua-dua (KK Mart dan pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd) menutup operasi?
“Jika tindakan tidak seimbang ini diwajarkan atas nama agama, justeru Akmal mesti menuntut permohonan maaf daripada China kerana membenarkan pengeluar di Yiwu, Zhejiang, mengeluarkan stoking terbabit.
“Akmal sepatutnya memberi tekanan kepada Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan, yang juga timbalan presiden partinya memanggil duta China bagi menjelaskan dan memboikot China jika Malaysia tidak mendapat jawapan memuaskan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, rakyat yang waras sudah pasti menjangka menteri luar negeri tidak akan melakukan tindakan tidak seimbang terhadap China, di mana negara itu merupakan rakan dagang utama.
Tangau berkata, tindakan “pemburuan” terhadap KK Mart boleh merosakkan ekonomi dengan menghalang pelabur ke Malaysia.
“Jika kecuaian menjurus kepada hukuman mati kepada rangkaian runcit itu yang merancang untuk disenaraikan, apa yang akan melindungi mereka daripada pesaing atau pemerasan oleh penguat kuasa undang-undang? soalnya.