Isu stoking kalimah Allah: Jangan menangguk di air keruh, kata PKR

Isu stoking kalimah Allah: Jangan menangguk di air keruh, kata PKR

PKR berpendapat tidak wajar mana-mana pihak menangguh di air keruh dan merosakkan lagi keadaan.

Penghinaan terhadap mana-mana agama akan merobek keutuhan dan keharmonian rakyat, kata PKR.
PETALING JAYA:
Setiap tindakan dalam menangani isu kalimah Allah tidak boleh berdasarkan emosi agar keadaan tidak memburuk, tegas PKR.

Parti pemerintah itu juga berkata, perbuatan mencari suatu keuntungan daripada isu stoking tertera kalimah Allah itu sebagai tidak wajar.

“Dalam pada pihak berwajib menjalankan siasatan dan akan mengenakan hukuman, majlis pimpinan pusat PKR berpendapat adalah tidak wajar mana-mana pihak menangguk di air yang keruh dan merosakkan lagi keadaan,” kata Ketua Penerangan Fahmi Fadzil dalam kenyataan.

“Segala tindakan kita harus berdasarkan undang-undang dan perlembagaan dan bukannya tindakan berdasarkan emosi dan amarah tanpa kawalan hukum perundangan.”

Kenyataan ini menyusuli mesyuarat pimpinan PKR malam tadi, yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang usaha penghinaan terhadap kesucian Islam dan mana-mana agama.

“Perbuatan seumpama itu hanya akan merobek keutuhan harmoni dan mahabbah yang menjadi tonggak kehidupan bersama aman damai rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.