
Timbalan Menteri Fuziah Salleh berkata data menunjukkan pengeluaran barang bersubsidi seperti gula dan minyak masak pada 2023 lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Beliau menjelaskan data menunjukkan pengedaran gula pada tahun lalu meningkat kepada 471,241 metrik tan berbanding 430,713 pada 2022 iaitu sebelum PRU15, manakala pengeluaran turut meningkat daripada 437,290 metrik tan kepada 489,451 metrik tan.
Menurutnya, pengeluaran minyak masak paket subsidi lebih banyak pengeluaran pada 2023 iaitu 60,000 metrik tan berbanding 2022 sebanyak 55,000 metrik tan.
“Ini bermaksud pengeluaran barang bersubsidi lebih pada tahun 2023 berbanding 2022,” katanya menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah).
Mas Ermieyati meminta jaminan kerajaan sama ada bekalan barangan keperluan bersubsidi seperti gula, minyak paket dan beras tempatan akan kembali pulih seperti sebelum PRU15.
Fuziah turut membidas soalan Mas Ermieyati itu mengelirukan dan tidak tepat.
Beliau berkata sebelum PRU15 bekalan telur tidak ada dan minyak masak 5kg juga lebih mahal berbanding masa ini.
“Kena ingat pada Oktober 2022 bekalan telur langsung tidak ada dalam pasaran.
“Beras 5kg sebelum PRU-15 RM35, sekarang RM25. Jadi kena cakap berfakta,” katanya.