
Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib, berkata akses data dalam sistem itu juga hanya dibenarkan kepada pegawai yang dilantik dan terhad kepada peranan masing-masing sahaja, dan peraturan itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard pengurusan Padu.
“Kumpulan pakar bebas terdiri daripada ahli akademik dan golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang turut dilantik bagi memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam memastikan keampuhan keselamatan sistem Padu,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara.
Sementara itu, Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah, berkata kerajaan akan bergerak ke arah pelaksanaan fasa dua Padu iaitu penentuan golongan sasar dan mekanisme pemberian subsidi bersasar selepas tempoh kemas kini berakhir pada 31 Mac.
Katanya, tumpuan kerajaan dalam minggu terakhir ini adalah meningkatkan kemas kini maklumat individu dan isi rumah terutama di kawasan dikenal pasti berisiko besar tersisih daripada menerima bantuan kerajaan.
Hari ini, kerajaan Sarawak memberi alasan kebimbangan kebocoran data dalam Padu, yang membawa penghentian proses pendaftaran Padu di negeri itu, sementara menantikan penambahbaikan terhadap pelaksanaannya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata kes kebocoran data memang berleluasa pada masa ini, dan pengumpulan data peribadi semua rakyat Malaysia dalam satu pangkalan data pusat memerlukan tahap keselamatan serta perlindungan data amat tinggi.