
Presiden Gerakan, Dominic Lau, berkata ketika ini parti komponen PN belum mengadakan sebarang perbincangan kerana ia “tanda hormat” terhadap mendiang Lee.
“Urusan pengebumian belum selesai lagi oleh itu Gerakan berpendapat tak sesuai beri pandangan mengenai PRK Kuala Kubu Baharu.
“Kita mesti hormat Lee Kee Hiong. Tambahan pula PN belum ada perbincangan…pada masa sesuai PN akan umum pendirian, pendekatan, strategi, calon kita. Kita akan umumkan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran logo dan slogan “Chaiyo Gerakan” di Menara PGRM, Cheras.
Dominic berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pihaknya akan bertanding pada PRK itu kerana ia adalah kerusi Gerakan.
Pada 22 Mac lalu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi mengumumkan pihaknya tidak akan menuntut kerusi itu sebaliknya akan memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam kerajaan perpaduan untuk meletakkan calon walaupun DUN berkenaan menunjukkan peningkatan jumlah pengundi Melayu mencecah 50%.
Mengulas pengumuman Zahid, Dominic secara sinis berkata “ini merupakan perbezaan antara BN dan PN” sambil menambah akan membuat ketetapan bila tiba waktu sesuai.
Lee, 58, yang memenangi kerusi Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser.
Pada PRN Ogos tahun lalu, Lee menewaskan calon PN Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Mendiang kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen daripada MCA dengan majoriti 1,702 undi dan mempertahankannya lima tahun kemudian.