Cuaca panas: ATM sedia kerjasama laksana pembenihan awan

Cuaca panas: ATM sedia kerjasama laksana pembenihan awan

Sebelum ini menteri sumber asli dan kelestarian alam berkata pihaknya akan mengambil kira beberapa faktor untuk melakukan pembenihan awan bagi mengelak pembaziran.

METMalaysia menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah celcius berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah hingga April ini. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia memberikan kerjasama kepada Jabatan Meteorologi (METMalaysia) untuk melaksanakan operasi pembenihan awan jika terdapat keperluan berikutan fenomena cuaca panas dan kurang hujan melanda negara ketika ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kebiasaannya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terlibat proses pembenihan awan namun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permintaan terhadap usaha itu.

“Aset udara kita sentiasa dalam keadaan siap siaga tetapi jika ada tuntutan atau permintaan ATM akan memberikan kerjasama…sebelum ini, kita pernah terlibat dengan pembenihan awan di Sabah dan begitu juga di Semenanjung, sekiranya ada pihak minta, kita akan bantu.

“Namun, pembenihan awan ini juga mengambil kira faktor cuaca semasa juga seperti keadaan awan, angin dan sebagainya barulah proses itu boleh dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka bersama menteri itu di Durian Tunggal, malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata pihaknya akan mengambil kira beberapa faktor dan keperluan untuk melakukan pembenihan awan bagi memastikan proses berkenaan berhasil memandangkan ia menelan kos yang agak tinggi sekali gus mengelak pembaziran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.