
Kumpulan itu juga menyeru pemerintah menunjukkan kepimpinan apabila timbul isu yang mengancam keamanan dan kestabilan.
G25 juga menggesa ahli politik menahan diri daripada membuat kenyataan yang boleh memburukkan lagi isu itu.
“Kerajaan harus memimpin dan segera meyakinkan orang ramai bahawa isu itu akan disiasat dan ditangani sewajarnya.
“Ini bagi meredakan perasaan dan mencegah ahli politik yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kejadian itu untuk politik,” kata G25 dalam kenyataan.
Gesaan ini menyusuli seruan boikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart oleh Pemuda Umno, susulan penemuan stoking tertera kalimah Allah di sebuah cawangan.
G25 berkata pihak berkuasa mesti bertindak segera terhadap kumpulan “vigilante” yang dikatakan menakut-nakuti dua lelaki, Chiok Wai Loong dan Ricky Shane Cagampang, berhubung komen berkenaan isu stoking itu di Facebook.
Dua kumpulan individu yang berasingan mengesan alamat Chiok, dan Ricky yang beragama Islam, lalu bersemuka dengan mereka.
Selepas penahanan oleh polis, Chiok dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000.
Ricky juga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan bawah seksyen dan akta sama, dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000.
Seksyen 233 akta itu tentang penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.