Syarikat dakwa pemilik bagasi berisi RM500,000 belum beri keterangan

Syarikat dakwa pemilik bagasi berisi RM500,000 belum beri keterangan

Polis terima laporan daripada seorang individu mendakwa wang tersebut milik syarikatnya.

Seorang individu dalam dipanggil untuk beri keterangan dalam kes bagasi berisi duit yang ditemui di sebuah tempat letak kenderaan, kata Ketua Polis Selangor, Hussein Omar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis belum mengambil keterangan sebuah syarikat teknologi maklumat yang mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya milik mereka.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar, berkata pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat terbabit yang mendakwa wang tersebut milik syarikatnya dan merupakan duit perniagaan.

“Kita menerima laporan daripada pengarah syarikat berusia lingkungan 40 tahun itu pada 11.30 pagi Khamis lepas.

“Ketua Balai Polis Damansara sudah memanggil pengadu terbabit untuk memberi keterangan, namun pengadu gagal hadir dengan pelbagai alasan seperti menghadiri mesyuarat dan sakit,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 30-an menemukan sebuah bagasi berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 pada 8 pagi Rabu lepas.

Hussein dilaporkan berkata polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.

Beliau berkata sekiranya tiada individu atau pihak yang menuntut wang tersebut pihaknya akan menyerahkannya kepada mahkamah untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.