‘Kehilangan’ air telan kos RM15 bilion dalam 10 tahun, kata Santiago

‘Kehilangan’ air telan kos RM15 bilion dalam 10 tahun, kata Santiago

Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata Malaysia mesti melakukan lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur untuk mengelakkan krisis bekalan.

Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata Perlis kehilangan lebih 63% air minuman sebelum disalurkan kepada pengguna.
PETALING JAYA:
Charles Santiago menyeru Malaysia melihat air sebagai “perkara keselamatan negara” kerana ia akan kehilangan air minuman bernilai RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang akibat pengabaian.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu berkata penambahbaikan infrastruktur air mesti menjadi keutamaan negara.

Infrastruktur dan pengurusan air yang lemah menyebabkan negara rugi RM8 bilion dalam air tidak berhasil (NRW) antara 2018 dan 2022, kata Santiago.

Beliau berkata, lebih banyak perlu dilakukan untuk memelihara air terawat memandangkan corak cuaca yang tidak menentu.

“Masalah itu perlu ditangani kerana (Malaysia) akan mengalami pembaziran RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun. Lebih teruk kebocoran, lebih banyak kita rugi.

“Kerajaan mesti menyediakan dana atau membenarkan sektor swasta cuba menyokongnya. Mengurangkan NRW harus dijadikan keutamaan,” katanya kepada FMT.

Ketika ini, Perlis kehilangan 63.3% airnya kepada NRW, diikuti oleh Kedah (58%) dan Kelantan (52.6%). Sementara itu, kerugian Pulau Pinang – pada 23.6% – adalah yang terendah, diikuti oleh Johor (25%) dan Selangor, (27.5%)

Purata NRW negara ialah 37%, katanya, dengan paip berusia antara 30 hingga 50 tahun perlu diganti.

Hanya RM1.9 bilion diperuntukkan untuk perkara berkaitan NRW menjelang Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), yang menurut Santiago, ia tidak mencukupi.

Beliau berkata, kemunculan peranti berkaitan internet untuk memantau kebocoran air, sama seperti teknologi yang digunakan di China, boleh membantu mengurangkan pembaziran dengan lebih cekap.

Santiago juga menyeru negara bergerak pantas ke arah penggunaan semula air. Penggunaan semula air ialah proses menukar air sisa industri dan perbandaran untuk digunakan semula (kumbahan).

“Sekiranya ini dapat dipercepatkan, kita akan dapat melaksanakan pembaikan segera dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan kos RM30 bilion. Ia adalah kos yang besar, tetapi kita perlu melakukannya untuk mengelakkan potensi krisis bekalan air,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.