Tak mengejutkan, kata BDS Malaysia selepas McDonald’s tarik balik saman

Tak mengejutkan, kata BDS Malaysia selepas McDonald’s tarik balik saman

BDS Malaysia berkata ia secara konsisten menegaskan bahawa tuntutan rangkaian makanan segera itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Disember lalu, McDonald’s Malaysia memfailkan saman terhadap BDS susulan gesaannya memboikot restoran makanan segera itu kerana dikatakan “bersubahat dengan Israel”.
PETALING JAYA:
Pergerakan yang mempromosikan boikot terhadap kepentingan Israel berkata mereka tidak terkejut dengan keputusan Gerbang Alaf, pemegang francais tempatan bagi McDonald’s, yang menarik balik saman terhadap kumpulan itu.

“Kami secara konsisten menegaskan bahawa tuntutan mereka tidak berasas dan tidak mempunyai asas undang-undang,” kata BDS Malaysia berkata dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, rangkaian makanan segera tersebut akan terus dikategorikan sebagai “Sasaran Boikot Organik”.

Katanya, syarikat itu akan terus diboikot di seluruh dunia disebabkan oleh kumpulan yang simpati dengan Palestin.

“Kami menyeru komuniti global untuk terus memboikot Israel dan semua entiti yang terlibat dalam ketidakadilan sehingga Palestin mencapai kebebasan dan keadilan untuk semua rakyatnya,” katanya.

Terdahulu hari ini, McDonald’s Malaysia menarik balik saman fitnah difailkan terhadap BDS Malaysia selepas hasil positif proses mediasi antara kedua-dua pihak.

Disember lalu, McDonald’s Malaysia memfailkan saman terhadap BDS susulan gesaannya memboikot restoran makanan segera itu kerana dikatakan “bersubahat dengan Israel”.

Gerakan ini dibuat susulan tindakan McDonald’s Israel membekalkan makanan kepada tentera rejim itu.

Pernyataan tuntutan bertarikh 19 Dis lalu itu difailkan pemilik francais McDonald’s Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd.

Ia menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada BDS dan ganti rugi RM6 juta, termasuk RM3 juta kehilangan pendapatan, RM1.5 juta bagi pekerja diberhentikan dan RM1.5 juta untuk bahan makanan tamat tempoh.

Ia turut memohon injunksi terhadap BDS daripada terus mengeluarkan gesaan boikot.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.