Syarikat terlebih mohon pekerja asing timbulkan masalah, kata pemain industri

Syarikat terlebih mohon pekerja asing timbulkan masalah, kata pemain industri

Kumpulan pemain industri menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap majikan tidak bertanggungjawab.

Menurut pemain industri, FWCMS hanyalah platform untuk memproses permohonan pekerja asing, dan tidak terlibat dengan masalah lebihan pekerja asing.
PETALING JAYA:
Kumpulan pemain industri menggesa kerajaan agar menghukum majikan tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam pengambilan pekerja asing secara berlebihan sehingga menyebabkan ramai terkandas di negara ini tanpa pekerjaan.

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia Foo Yong Hooi berkata, tindakan syarikat-syarikat ini tidak beretika dan menyumbang kepada meningkatnya kebimbangan berhubung hak asasi manusia.

“Kerajaan mesti mengambil tindakan tegas dan menghukum mereka. Mereka mencemarkan reputasi industri dan mendatangkan akibat kepada perusahaan sah yang benar-benar memerlukan pekerja asing,” katanya kepada FMT.

Foo berkata, segelintir majikan menyalahgunakan kuota dengan memohon untuk membawa masuk pekerja asing lebih daripada keperluan.

“Apabila majikan memohon terlebih (pekerja asing) dan mendapat kelulusan, mereka sering mengabaikan lebihan pekerja apabila sedar keperluan mereka sudah cukup. Ini menyebabkan ramai yang terkandas setelah tiba, walaupun dijanjikan pekerjaan. Majikan harus bertanggungjawab atas permohonan mereka.

“Majikan mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS). Kelulusan juga diberikan secara dalam talian oleh pegawai agensi berkaitan bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Sebaik sahaja kementerian memberikan kelulusan, majikan akan terus menggunakan FWCMS untuk proses seterusnya,” kata Foo.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, FWCMS tiada kena-mengena dengan isu pekerja asing.

“Sistem ini tidak memberikan kelulusan kuota pekerja asing. Ia hanyalah platform untuk memproses (permohonan). Dari perspektif majikan, sistem ini menjadi ‘game-changer’ dan ramai yang puas hati dengannya,” katanya.

Diguna pakai di Malaysia sejak 2015, FWCMS bertujuan memusatkan, mewujudkan sistem dan mempercepat pengambilan pekerja asing, dan pada masa yang sama, membendung penyalahgunaan dalam proses tersebut.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia Fiona Low berkata, tanggungjawab sebenar atas isu yang dihadapi pekerja asing terletak pada majikan dan ejen tidak bertanggungjawab yang memudahkan kemasukan mereka ke negara ini.

“Jika terdapat isu lebihan pekerja, kesalahan terletak pada majikan dan ejen tidak bertauliah atau tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam proses pengambilan.

“Untuk mengelakkan kejadian sebegitu, sistem pengurusan pekerja asing kita mesti diperkukuh untuk membanteras sindiket-sindiket ini,” katanya.

Low berkata, FWCMS bagus untuk industri dari segi memastikan ketelusan dan kesegeraan pengambilan pekerja untuk memenuhi keperluan majikan.

Tambahnya, sebarang penyalahgunaan sistem berpunca daripada salah tafsir atau eksploitasi dasar kerajaan oleh majikan, bukannya kelemahan dalam sistem itu sendiri.

“FWCMS lebih bagus daripada (sistem) manual lama (sistem), yang mengandungi kelemahan disebabkan oleh kesilapan manusia dan salah urus. FWCMS adalah relevan dan perlu untuk kemajuan zaman sekarang.”

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Dan Perindustrian India Kuala Lumpur Dan Selangor R Nivas berkata, KSM telah mengambil langkah lebih ketat untuk membendung pengambilan pekerja asing yang berlebihan.

Kementerian itu sebelum ini berkata, pihaknya akan menyenarai hitam majikan yang didapati bersalah membawa pekerja ke Malaysia secara sah tanpa pekerjaan tersedia untuk mereka. Kementerian turut memberi amaran bahawa majikan-majikan ini berdepan risiko kuota pekerja asing mereka dibatalkan.

“Kita perlu mengambil langkah lebih proaktif untuk membendung isu ini. Contohnya, memastikan peraturan perumahan (pekerja) bawah Akta 446 dipatuhi,” kata Nivas.

Akta 446, iaitu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, memperuntukkan standard minimum bagi perumahan dan kemudahan untuk pekerja, memastikan mereka disediakan tempat tinggal yang selamat dan sesuai.

“Kerajaan perlu mendakwa (mereka yang melanggar undang-undang), mengheret mereka ke mahkamah. Usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan tentang pemerdagangan orang juga penting dalam membendung eksploitasi.”

Tambahnya, kerajaan mesti terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dalam isu pekerja asing, menekankan kepentingannya demi pertumbuhan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.