6 RUU dilulus dalam Dewan Rakyat minggu ini

6 RUU dilulus dalam Dewan Rakyat minggu ini

Ini termasuk RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024; RUU Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023; dan RUU Polis (Pindaan) 2024.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung sehingga 27 Mac ini, menyaksikan pembentangan serta perbahasan RUU dan urusan kerajaan yang lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Enam rang undang-undang diluluskan pada peringkat jawatankuasa pada minggu keempat Mesyuarat Pertama Penggal ke-15 Dewan Rakyat.

Antaranya, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) 2024 yang membabitkan pengeluaran sejumlah wang tidak melebihi RM23,479,669,350 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan 2023.

Selain itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023; RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023; RUU Polis (Pindaan) 2024; RUU Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 dan RUU Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Pindaan) 2023.

Minggu keempat turut menyaksikan RUU Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, bagi meminda Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2013 (Akta 743) yang dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Pada sidang itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail turut mengadakan penerangan berkenaan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Katanya, LPF tidak akan meluluskan tayangan mana-mana filem yang memaparkan kandungan mempromosi gaya hidup LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri), mengandungi unsur komunisme, Islamofobia dan bertentangan dengan akidah Islam serta ajaran sesat.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung sehingga 27 Mac ini, menyaksikan pembentangan serta perbahasan RUU dan urusan kerajaan yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.