Wan Saiful dedah Ahli Parlimen cuba pengaruhi sokongannya

Wan Saiful dedah Ahli Parlimen cuba pengaruhi sokongannya

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, Ahli Parlimen terbabit perlu dihukum atas tindakan mereka yang 'sama dengan menghina' Dewan Rakyat.

Wan Saiful Wan Jan menamakan dua Ahli Parlimen yang didakwanya cuba mempengaruhinya untuk menyokong kerajaan perpaduan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendedahkan identiti dua Ahli Parlimen yang didakwanya cuba mempengaruhinya untuk menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Wan Saiful (PN-Tasek Gelugor) memberitahu Dewan Rakyat, dua Ahli Parlimen itu antara enam wakil rakyat mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar tahun lalu.

FMT memilih tidak mendedahkan nama mereka.

Wan Saiful berkata, tawaran dibuat seorang daripada Ahli Parlimen itu dan dua lagi individu pada 17 Jan lalu, termasuk peruntukan RM2 juta, bayaran untuk perbelanjaan perubatan isterinya, jumlah token tidak dinyatakan bagi menampung yuran guaman kes mahkamahnya serta kemungkinan menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Beliau mendakwa seorang lagi Ahli Parlimen dikatakan membantu memperkenalkan seorang individu pada 26 Feb lalu berhubung cadangan mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong.

“Ini adalah cubaan untuk mempengaruhi tingkah laku saya. Ia merupakan gangguan, rasuah dan ugutan, yang semuanya adalah kaedah tidak boleh diterima untuk mempengaruhi tingkah laku saya sebagai Ahli Parlimen.”

Justeru, beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 80A untuk menghukum mereka yang melakukan penghinaan terhadap Dewan Rakyat di bawah Seksyen 9(d) dan 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 atau Akta 347.

Peraturan Mesyuarat 80A memberikan Dewan Rakyat kuasa untuk menangani kes penghinaan seperti ditakrifkan di bawah Akta 347.

Seksyen 9(d) dan 9(e) menyatakan tindakan serta tingkah laku boleh dianggap menghina kuasa, fungsi dan keistimewaan Parlimen.

Wan Saiful berkata, cadangan itu berdasarkan duluan ditetapkan mendiang Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Cadangannya disokong Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang menjelaskan secara terperinci bagaimana sebuah jawatankuasa khas Parlimen ditubuhkan untuk menyiasat kekecohan antara Karpal dan beberapa ahli Pemuda Umno Selangor pada 2009.

Timbalan Speaker, Ramli Nor bagaimanapun mencadangkan Wan Saiful menyediakan dan mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul untuk pertimbangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.