Sukar hapus tol seperti ‘ada pihak’ janji, kata Ahmad Maslan

Sukar hapus tol seperti ‘ada pihak’ janji, kata Ahmad Maslan

Timbalan menteri kerja raya berkata kerajaan perlu membayar anggaran RM450 bilion kepada 33 konsesi untuk menghapuskan tol.

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan mendedahkan kos perlu dibayar kerajaan kepada konsesi bagi sehari untuk tol percuma adalah RM20 juta.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menegaskan sukar menghapuskan tol seperti pernah dijanjikan “pihak” sebelum ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, berkata jika kerajaan ingin menghapuskan tol, ia perlu membayar anggaran RM450 bilion pada masa ini kepada 33 konsesi.

“Tentunya kami tak janji. Ada pihak janji tetapi anggaran 2019 untuk hapuskan tol, kena bayar konsesi sebanyak RM400 bilion.

“Mana ada duit. Itu anggaran 2019. Saya anggarkan lebih kena bayar kepada 33 konsesi (iaitu) mungkin RM450 bilion,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Lembaga Lebuh Raya (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) mengenai status janji menghapuskan tol oleh Pakatan Harapan yang dianggap sudah “dikuburkan”.

Bagaimanapun, Ahmad berkata dalam usaha mengurangkan kadar tol ia boleh dirunding bagi laluan tertentu tetapi perlu melanjutkan tempoh konsesi.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan mungkin memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya sempena Aidilfitri dan meminta rakyat menunggu pengumuman rasmi kerajaan.

Ahmad juga mendedahkan kos perlu dibayar kerajaan kepada konsesi bagi sehari untuk tol percuma adalah RM20 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.