Sekolah uzur disyor baik pulih masih tiada tindakan selepas 12 tahun, kata PAC

Sekolah uzur disyor baik pulih masih tiada tindakan selepas 12 tahun, kata PAC

Pengerusi PAC berkata, kekangan kewangan menyebabkan KPM terpaksa memilih sekolah perlu diutamakan dahulu berdasarkan keadaan atau kerosakan lebih kritikal.

Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelewatan memproses permohonan projek sekolah daif oleh KPM menyebabkan berlakunya notis perubahan yang menyebabkan kerosakan sedia ada menjadi lebih teruk. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan terdapat bangunan sekolah uzur disyorkan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak sesuai digunakan yang masih tidak dibaik pulih.

Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, ada bangunan yang disyorkan dibaik pulih sejak 12 tahun lalu, namun masih gagal diambil tindakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“PAC dimaklumkan hal ini terjadi kerana kekangan kewangan yang menyebabkan KPM terpaksa memilih sekolah perlu diutamakan dahulu berdasarkan keadaan atau kerosakan lebih kritikal,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.

Beliau mendedahkan perkara itu selepas pembentangan laporan PAC di Parlimen berhubung pengurusan naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah bawah KPM dan JKR.

Laporan itu dibentang selepas PAS selesai prosiding 17 Jan lalu dengan memanggil saksi, termasuk Ketua Setiausaha KPM, Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Badioezaman Ab Khalik; Timbalan Pengarah Infrastruktur JKR Sarawak, Cassidy Anak Morris dan Ketua Penolong Pengarah JKR Sabah, Petrocelli Joseph.

Dalam melengkapkan prosiding itu, Mas Ermieyati berkata, PAC turut melawat empat sekolah di Sarawak pada 5 Feb lalu, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Supok dan SK Nanga Grenjang di Saratok serta SK Serabang dan SK Paku Central di Betong.

Menurutnya, kelewatan memproses permohonan projek sekolah daif oleh KPM menyebabkan berlakunya notis perubahan yang menyebabkan kerosakan sedia ada lebih teruk.

“Kegagalan KPM mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu ini menyebabkan bangunan atau ruangan yang telah disyorkan tidak sesuai dan selamat digunakan oleh pihak JKR masih digunakan.”

Beliau berkata, kelewatan baik pulih itu menyebabkan wujud kos tambahan lain seperti pembinaan penempatan sementara bagi tujuan penyuraian murid, selain persekitaran tidak kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Justeru, katanya, PAC mengesyorkan empat tindakan kepada KPM, termasuk melancarkan program sifar bangunan sekolah daif dan meningkatkan perancangan serta pelaksanaan program penyelenggaraan sekolah bagi mengurangkan kebarangkalian sekolah dikategorikan daif.

“PAC memberi tempoh dua bulan kepada KPM sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan bagi membolehkan jawatankuasa ini mengetahui tindakan telah diambil terhadap syor dikemukakan.”

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang juga ahli PAC meminta semua pihak, termasuk wakil rakyat memberi perhatian terhadap isu kritikal itu.

Katanya, perkara itu juga perlu mendapat perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan yang dipengerusikan Saifuddin Abdullah daripada Perikatan Nasional supaya laporan sekolah daif boleh dibentangkan secara berkala oleh KPM.

“Mungkin setiap enam bulan panggil KPM laporkan status sekolah daif untuk perhatian dan bentangkan dalam Parlimen supaya lebih ramai Ahli Parlimen tahu perkembangan tertentu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.