
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Khaw Kok Chin berkata dua lelaki berusia 33 dan 44 tahun itu merupakan penjaga stor dan “transporter” bagi sindiket yang dipercayai mula aktif sejak tahun lalu.
“Modus operandi sindiket itu adalah menjadikan kondominium sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedar menggunakan kereta untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPD Kajang hari ini.
Beliau berkata, sindiket itu turut menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dadah ke negara jiran.
Menurutnya, syabu seberat 333.443kg, serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (6.07kg), pil erimin 5 (8.1kg) dan pil ekstasi (15.7kg) yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan 1.8 juta penagih dadah.
Katanya, saringan awal air kencing dua suspek negatif dadah, tetapi seorang daripadanya mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan dadah.
“Kedua-dua suspek direman enam hari bermula semalam hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah sebuah kenderaan digunakan sindiket itu yang dianggarkan bernilai RM38,000 disita.
Khaw berkata, pihaknya meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian khususnya dalang sindiket yang masih bebas.