Dana pembangunan Terengganu kini lebih tinggi berbanding ketika PN, kata Anwar

Dana pembangunan Terengganu kini lebih tinggi berbanding ketika PN, kata Anwar

Jumlah royalti petroleum Terengganu juga meningkat semasa pentadbirannya berbanding ketika PAS dan Bersatu menjadi kerajaan, kata PM.

Anwar Ibrahim berkata peruntukan pembangunan untuk projek rakyat di Terengganu meningkat RM1.59 bilion tahun ini, berbanding RM1.55 bilion tahun lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan pentadbirannya menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.55 bilion untuk pembangunan di Terengganu tahun lalu walaupun royalti petroleum hanya RM786 juta.

Malah, beliau yang juga menteri kewangan berkata perbelanjaan pembangunan untuk negeri ditadbir PAS itu meningkat kepada RM1.59 bilion tahun ini.

Katanya, jumlah royalti petroleum Terengganu juga bertambah semasa pentadbirannya berbanding ketika PAS dan Bersatu berada dalam kerajaan iaitu hanya RM399 juta pada 2022.

“Saya berikan jawapan ini di Parlimen kemudian Menteri Kewangan II (Amir Hamzah Azizan) ulang lagi, tapi dia (pembangkang) kata zalim…inilah kezaliman menentang cara agama cara madani, madanon la macam-macam.

“Hakikatnya, pemberian persekutuan kepada Terengganu di bawah kerajaan perpaduan lebih daripada masa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dulu,” katanya pada perhimpunan warga Kementerian Kewangan pagi ini.

Pada 5 Mac lalu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman menggesa Anwar memberi penjelasan berhubung tunggakan pembayaran wang royalti minyak Terengganu yang belum diterima untuk tahun lalu.

Beliau berkata, tindakan melewatkan pembayaran wang royalti kepada kerajaan Terengganu merupakan penindasan.

Pada 27 Nov tahun lalu, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, kerajaan Terengganu hanya menerima RM510 juta royalti petroleum setakat ini.

Katanya, jumlah itu berbeza berbanding anggaran royalti petroleum atau Wang Ehsan dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM1.524 bilion.

Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata wang ehsan itu tidak disalurkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri, sebaliknya dibelanjakan untuk pembangunan projek rakyat.

“Ada program atau keperluan mendesak, contohnya hakisan di Tasik Kenyir, kita terus bagi peruntukan untuk menyegerakan projek itu dan sebahagiannya tentunya dari dana wang ehsan.

“Untuk projek-projek kecil, projek untuk rakyat kita manfaatkan (dana royalti minyak)…kita tak ambil wang itu untuk kementerian lain atau jabatan lain atau negeri lain. Dana itu sepenuhnya untuk Terengganu,” katanya.

Beliau berkata pendekatan sama juga digunakan untuk negeri yang turut menerima royalti petroleum termasuk Sabah, Sarawak, dan Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.