
“Saya tak nafikan di lapangan, kadang harga tinggi. Ada kawan komen pada saya, harga beras turun, harga gula terkawal, harga ayam turun, berbanding dua, tiga tahun lepas tetapi harga makanan naik..
“Ini mungkin (memerlukan) penguatkuasaan, pemantauan dan harus juga menuntut kita melakukan tinjauan dan perubahan,” katanya pada majlis himpunan warga Kementerian Kewangan pagi ini.
Sebelum ini tular makanan di berapa premis termasuk bazar Ramadan khususnya di ibu kota dijual pada harga tidak masuk akal.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, menasihatkan orang ramai menggunakan hak mereka dalam memilih harga berpatutan ketika membeli di bazar Ramadan.
Sementara itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, harga gula dan beras di Malaysia lebih murah berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara, namun ini juga mengundang masalah lain, terutama penyeludupan.
“Ada masalah juga kerana penyeludupan akan bertambah. Dalam mesyuarat keselamatan, di Pulau Sebatik, satu pertiga (penduduknya) rakyat Malaysia dan dua pertiga rakyat Indonesia, tetapi keperluan minyak mentah, gula, beras semuanya untuk satu pulau.
Pulau Sebatik terletak di pantai timur Sabah, dengan bahagian utaranya berada dalam wilayah Malaysia, manakala bahagian selatan berada dalam Kalimantan Utara, Indonesia.
Justeru, Anwar berkata, penyasaran subsidi serta kaedah percukaian baharu amat penting dalam memperbaiki sistem sedia ada.
“Ia harus tidak menekan (golongan) di bawah tetapi akan beri keadilan supaya golongan kaya atau yang bukan rakyat (Malaysia) tidak mengambil faedah daripada subsidi,” katanya.