
Johari berkata, Indonesia mengemukakan aduannya 13 bulan lebih awal, tetapi kemudian menggantung kesnya, menjadikan Malaysia satu-satunya pengadu.
“(Dalam) keputusan hari ini yang dibuat oleh WTO, tiada siapa-siapa menang., (berhubung) 20 isu yang bersangkut paut. Sepuluh isu dimenangi oleh EU, 10 oleh Malaysia.
“Tetapi banyak masyarakat di luar sana kurang faham soal isu ini, jadi nampak seolah-olah kelapa sawit Malaysia lebih teruk berbanding (kelapa sawit) Indonesia,” katanya dalam Dewan Rakyat.
Johari berkata, Malaysia sepatutnya menyokong aduan Indonesia dan memberikan bantuan, memandangkan Indonesia merupakan pemain penting dalam industri biodiesel.
“Indonesia adalah antara pengeluar biobahan api utama dunia, dengan ‘Palm Oil Methyl Esther’ (PME) merupakan input adunan biobahan api utamanya,” katanya.
“Pada 2023, dianggarkan 25.2%, ataupun 12.2 juta tan metrik daripada pengeluaran minyak sawit mentah Indonesia diproses untuk hasilkan PME. Dalam tempoh yang sama, Malaysia hanya (proses) 1.4 juta. Daripada itu, biodiesel hanya 134,000 ribu tan metrik.”
Johari berkata demikian sebagai respons kepada Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bertanya sama ada keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menolak rayuan Malaysia terhadap peraturan EU berhubung biobahan api berasaskan minyak sawit masih akan membenarkan blok itu menguatkuasakan Akta Perwakilan Kuasa, dan sama ada Malaysia memiliki kepakaran untuk mengubah dasar EU.
Mengikut Akta Perwakilan Kuasa bawah RED II EU, minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai kadar perubahan guna tanah tidak langsung (ILUC) yang tinggi, dan akan diharamkan sebagai sumber biobahan api.
Penggunaannya akan dimansuhkan secara berperingkat menjelang 2030 sekiranya kadar ILUC kekal tinggi.
Awal bulan ini, dilaporkan bahawa aduan Malaysia terhadap keengganan EU mengklasifikasikan biobahan api minyak sawit sebagai tenaga boleh baharu “sebahagian besarnya gagal”.
Bagaimanapun, FMT melaporkan Johari berkata, Malaysia masih memenangi beberapa “unsur penting” dalam pertikaian berhubung perkara tersebut.
Di Dewan Rakyat, Johari berkata, larangan itu tidak telus dan tidak mempunyai kredibiliti saintifik, selain melanggar prinsip perdagangan bebas bawah WTO.
Libat urus proaktif diperlukan
Beliau juga berkata, libat urus awal dan proaktif diperlukan untuk menjamin penerimaan produk minyak sawit tempatan dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada peringkat antarabangsa.
Pada masa ini, pengeksport minyak sawit memiliki dua pensijilan, yang dikeluarkan oleh MSPO dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO). Walaupun RSPO diiktiraf pada peringkat antarabangsa, pengiktirafan MSPO berbeza antara lain-lain negara.
“Standard kita ini lebih bagus daripada RSPO kerana kita rangkumi secara meluas semua ladang, termasuk semua pemegang, bukan sekadar estet besar,” kata Johari menjawab Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang bertanya bagaimana MSPO dan RSPO boleh membantu menangani boikot Eropah.
“Jadi apa yang saya nak tekankan adalah, kita kena buat libat urus (dari awal), tak boleh nak tunggu sampai hujung. Dari mula EUDR (Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan) diperkenal, itu masanya kita kena buat libat urus.”