Lebih inklusiviti, peluang sama rata, namun OKU masih sukar dapat kerja

Lebih inklusiviti, peluang sama rata, namun OKU masih sukar dapat kerja

OKU berdepan cabaran termasuk aksesibiliti di tempat kerja, yang memerlukan majikan melabur dalam pengubahsuaian fizikal dan teknologi mudah suai.

Cadangan pindaan terhadap undang-undang diharap dapat memberikan OKU akses sama rata terhadap pekerjaan seperti orang lain.
PETALING JAYA:
Walaupun Malaysia menunjukkan kemajuan dari segi inklusiviti, golongan kurang upaya (OKU) terus berdepan cabaran di tempat kerja yang memerlukan peluang sama rata dan aksesibiliti lebih baik di tempat kerja.

S Ramesh, 32, yang dilahirkan dengan spina bifida, hanya mendapat kerja selepas pencarian selama dua tahun.

“Mencari kerja cuma satu daripada banyak cabaran yang saya hadapi sepanjang hidup ini,” kata eksekutif pentadbiran di Kone Elevator Sdn Bhd itu kepada FMT.

Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong berkata, wujud keperluan meningkatkan aksesibiliti di tempat kerja, melabur dalam pengubahsuaian fizikal dan teknologi mudah suai bagi menyokong pekerja kurang upaya serta diskriminasi terhadap OKU di tempat kerja juga perlu dihapuskan.

“OKU sering dibayar kurang berbanding rakan sekerja lain kerana ada salah tanggapan terhadap produktiviti terhalang serta keperluan kesihatan, selain berat sebelah dalam pengambilan atau menawarkan peluang sama rata.”

Katanya, kerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan dan pusat panggilan, khususnya yang membolehkan seseorang bekerja dari rumah, lebih sesuai untuk OKU, namun kebanyakan peluang ini tidak diberikan kepada mereka.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengakui kerajaan menawarkan insentif menggalakkan pengambilan OKU. Namun, kebanyakan PKS beroperasi dalam sektor perkhidmatan yang tidak selalunya seiring kemampuan OKU, jadi bilangan OKU diambil bekerja mungkin masih terhad.”

Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia, V Murugeswaran berkata, isu melibatkan perbezaan gaji dan bilangan rendah OKU di tempat kerja menekankan perlunya perlindungan dari segi undang-undang serta sokongan kerajaan.

“Dalam keadaan seperti itu, kami menasihatkan mereka membuat laporan dengan Kementerian Sumber Manusia. Tidak banyak yang dapat kami lakukan kerana ini melibatkan undang-undang buruh. OKU di negara ini sering tidak diberi perlindungan, dan dalam kes sebegini, beban atas bahu OKU sendiri untuk selesaikannya.”

Menurutnya, masyarakat OKU kekurangan suara di Parlimen, tetapi beliau berharap Akta Orang Kurang Upaya 2008 akan dipinda untuk memberikan golongan itu lebih banyak perlindungan di tempat kerja.

Pindaan dicadangkan itu – seperti dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri akan dibentangkan tahun ini – bertujuan memberi OKU akses kepada pekerjaan seiring orang lain.

Ia turut memperuntukkan OKU mesti disediakan persekitaran kerja adil dan memuaskan, termasuk peluang dan gaji sama rata, persekitaran kerja selamat dan sihat, perlindungan daripada gangguan serta penyelesaian aduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.