Bagasi berisi duit lebih RM500,000 ditemukan di parkir

Bagasi berisi duit lebih RM500,000 ditemukan di parkir

Polis berkata bagasi itu ditemukan seorang pengawal keselamatan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pihaknya akan mendapat pengesahan Bank Negara mengenai ketulenan wang tunai lebih RM500,000 yang ditemui di dalam bagasi tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pengawal keselamatan menemukan sebuah bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima laporan daripada pengawal keselamatan berusia 30-an itu semalam berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada 8 pagi.

Beliau berkata pemeriksaan polis mendapati bagasi itu berisi wang kertas RM10, RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 dan dipercayai tulen.

Bagaimanapun, polis akan mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara.

Menurut Hussein, pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.

“Susulan itu, kita membuka kertas enkuiri polis berkaitan penemuan wang berkenaan,” katanya dalam sidang media.

Hussien meminta mana-mana individu yang tertinggal bagasi berisi wang berkenaan tampil ke Balai Polis Petaling Jaya atau menghubungi talian 03-7966 2222 dengan membawa bukti-bukti berkaitan.

“Jika tiada mana-mana individu yang menuntut wang ini, kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.