
Panel tiga hakim diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail mengarahkan Aaron Teoh Eng Wan, 40, dan isterinya En Sit Mooi, 43, dipenjarakan bermula dari tarikh mereka ditangkap, iaitu 26 Mei 2017.
Dua hakim lain yang bersidang terdiri daripada Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah, lapor Bernama.
Ketika menyampaikan keputusan, Hadhariah berkata, mahkamah mengetepikan sabitan membunuh dan hukuman mati pasangan itu, sebaliknya mensabitkan mereka atas tuduhan homisid salah tak terjumlah membunuh.
Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin terkhilaf apabila tidak membezakan antara Seksyen 299 dan Seksyen 300 Kanun Keseksaan yang mewajarkan intervensi Mahkamah Rayuan.
Pasangan suami isteri itu disabitkan kesalahan membunuh anak sulung mereka, Adrian Teoh Wai Kit, 8, di sebuah premis di Regalia Business Centre, Subang Jaya antara 2 petang hingga 3.30 petang pada 26 Mei 2017.
Peguam S Jayananda Rao dan Saladin Mohd Yasin, masing-masing mewakili Teoh dan En berhujah bahawa pasangan itu tidak sepatutnya disabitkan atas kesalahan membunuh, tetapi atas tuduhan yang lebih ringan, iaitu homisid salah tak terjumlah membunuh
Pada 21 Mei 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap pasangan itu selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki mereka.
Mahkamah Tinggi turut menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Teoh atas satu lagi tuduhan, iaitu melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.
Teoh bagaimanapun hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan tersebut kerana telah pun menjalani hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya Zulkifli Abdullah tampil bagi pihak pendakwaan.