Tentera Darat jangka terima helikopter Black Hawk bulan depan

Tentera Darat jangka terima helikopter Black Hawk bulan depan

Panglima Tentera Darat berkata, penghantaran pertama itu melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk.

Tentera Darat sepatutnya menerima helikopter Black Hawk itu November lalu, tetapi mengalami sedikit kelewatan akibat kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Tentera Darat (TDM) dijangka menerima penghantaran pertama helikopter Black Hawk bulan depan, kata Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Beliau berkata, penghantaran peringkat pertama itu melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara TDM.

Menurutnya, helikopter itu sepatutnya diterima TDM November lalu, namun akibat beberapa kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar helikopter menyebabkan sedikit kelewatan.

“Bagaimanapun, kontraktor telah memberikan janji untuk menghantar helikopter pertama pada April ini dan saya harap ia dipenuhi,” katanya mengulas perkembangan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu di Majlis Berbuka Puasa TDM di Masjid Thoriq bin Ziyad, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Mengenai faktor kelewatan itu, Hafizuddeain enggan membuat spekulasi dan menegaskan TDM amat memerlukan helikopter berkenaan bagi tujuan latihan dan operasi.

Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.