
Dzulkefly berkata penangguhan memasukkan GEG dalam Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam yang diluluskan November tahun lalu itu tidak mempunyai kaitan dengan pelobi industri vape dan tembakau.
Menurutnya, kerajaan mahu mengemukakan GEG namun Jabatan Peguam Negara membangkitkan isu berkaitan Perlembagaan.
Beliau menjelaskan ada wakil industri dan pelobi datang bertemu Ahli Parlimen berhubung isu itu, namun ia tidak menjadi kesalahan dalam sistem demokrasi.
“(Namun) saya kira adalah agak tidak wajar melanjutkan pengaruh (anggapan) itu bahawa wakil industri dan pelobi mempengaruhi kerajaan dan juga Kabinet.
“Itu saya kira salah pada fakta dan (anggapan) pengucapan timbalan menteri (Lukanisman Awang Sauni) kerana saya semak perkara itu,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
“Salah pada fakta dan salah (anggapan) pada ucapan dibuat timbalan menteri kerana saya semak perkara itu,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) sama ada pengguguran GEG disebabkan pelobi industri vape atau kerana faktor undang-undang.
Pada 14 Mac lalu, Lukanisman dipetik sebagai berkata semasa membentangkan GEG, konflik pandangan timbul disebabkan tekanan industri dan mereka bertemu Ahli Parlimen yang mempengaruhi keputusan itu.
Cadangan asal kerajaan untuk melarang mereka yang lahir selepas 2007 daripada membeli produk merokok dibatalkan daripada RUUm Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam.