
Anwar berkata, tindakan sudah diambil dan kita seharusnya terus maju ke hadapan.
“Kenapa kita masih terperangkap dengan isu-isu ini yang berpanjangan? Ada laporan, ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama lagi.
“Jadi, jangan kita terus menerus dengan perbincangan ini,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media.
Sementara itu di Pulau Pinang, Zahid menyeru semua pihak jangan “berlebih-lebihan” dalam isu tersebut.
Katanya, kilang yang mengedarkan stoking itu sudah meminta maaf dan siasatan mendapati ia dilakukan pembekal dari China, maka isu tersebut sepatutnya diselesaikan.
“Ini suatu pengajaran agak mahal dan saya yakin semua pihak patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong.
“Kita selesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Masjid Simpang Tiga di Nibong Tebal.
Kontroversi stoking tertera kalimah Allah tercetus susulan tular gambar penjualan produk itu Rabu lalu, di sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway, sekali gus mengundang kecaman umat Islam termasuk desakan memboikot oleh Pemuda Umno.
Pada Sabtu, syarikat berkenaan memohon maaf dan menyuarakan kekesalan atas insiden berlaku, namun Pemuda Umno mendesak pengurusan KK Mart memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.
Dalam pada itu, vendor rangkaian kedai runcit berkenaan sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap pembekal dari China kerana kecuaian.