
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata jawatankuasa bertindak itu diwujudkan bagi pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh isu persendaan agama Islam termasuk kalimah Allah, susulan kontroversi stoking tertera kalimah Allah.
Katanya, selain itu ia bagi memastikan isu berkenaan tidak berulang di Johor, sekali gus mengelakkan keharmonian masyarakat tergugat.
“Jawatankuasa Bertindak Bersepadu Negeri Johor akan mula bermesyuarat esok dengan saya akan mempengerusikan jawatankuasa itu.
“Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor dan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han, akan menyertai secara kekal jawatankuasa berkenaan.
“Agenda utama esok adalah bagi merangka segera garis panduan persekitaran perniagaan di negeri ini supaya ia dijalankan dalam suasana mesra agama serta tidak menyentuh sensitiviti masyarakat,” katanya menurut Harian Metro selepas operasi pemeriksaan bersepadu Jabatan Agama Islam Negeri Johor terhadap KK Mart di Johor Bahru.
Katanya, jawatankuasa itu turut dianggotai Kementerian Dalam Negeri, kastam, imigresen dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Kontroversi stoking kalimah Allah tercetus susulan tular gambar penjualan produk itu Rabu lalu, di sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway.
Pada Khamis, syarikat berkenaan memohon maaf dan menyuarakan kekesalan atas insiden berlaku, namun Pemuda Umno mendesak pengurusan KK Mart memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.
Hari ini, Berita Harian melaporkan sebuah kilang di kawasan perindustrian Sri Gading di Batu Pahat, yang terbabit isu penjualan stoking kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart menutup operasinya.
Penutupan bermula hari ini dibuat sehari selepas pihak berkuasa menyerbu kilang itu dan menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah.