
Ameer Ali Mydin berkata, perlu ada bekalan buruh mencukupi dan kerajaan sebelum ini sudah meluluskan pengambilan ramai pekerja asing bagi industri perladangan.

“Walaupun ini telah digantung, ramai (pekerja asing) dibenarkan pada tahun-tahun sebelumnya. Oleh itu, industri tidak patut menjadikan kekurangan pekerja asing sebagai alasan kerana kerajaan sudah meluluskan jumlah yang ramai untuk pertanian.”
Rabu lalu, Berita Harian melaporkan harga sayur dijangka melonjak bulan depan, terikat jangkaan kemerosotan bekalan sayur sehingga 40%.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada 8 Mac lalu mengumumkan Putrajaya menetapkan 31 Mac ini tarikh akhir pengambilan pekerja asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0.
Seramai 20,970 pekerja asing diluluskan di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sehingga 18 Mac 2023.
Pun begitu, Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee minggu lalu menjangkakan keadaan akan bertambah buruk kerana ramai pekerja Indonesia dan Bangladesh akan pulang ke negara asal menjelang pertengahan Ramadan, dengan ada di antaranya mungkin tidak kembali semula.
Ameer bagaimanapun menolak kebimbangan itu dengan berkata, ia tidak patut membawa kepada kekurangan tenaga kerja kerana ia berlaku setiap tahun dan tidak patut menjadi punca kebimbangan.

Pakar ekonomi, Barjoyai Bardai pula berkata, kerajaan perlu menyegerakan projek keselamatan makanan bagi mengurangkan kesan kekurangan buruh terhadap pengeluaran sayur-sayuran.
Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak itu berkata, petani perlu digalakkan menanam sayur-sayuran secara kecil-kecilan di bawah pokok sawit dan kawasan celahan untuk meningkatkan bekalan.
“Ini boleh menjadi asas pertumbuhan industri keselamatan makanan,” katanya sambil menggesa kerajaan mengambil langkah segera meningkatkan industri makanan bagi memastikan sekuriti makanan jangka panjang untuk negara.
“Kita perlu meneruskan pertanian dengan lebih serius. Kita perlu mewujudkan rangkaian pemasaran untuk memasarkan (produk pertanian) secara langsung dengan penghantaran ke rumah atau melalui pasar borong dan petani.”