SKMM dalam proses muktamad rangka kerja pelesenan media sosial

SKMM dalam proses muktamad rangka kerja pelesenan media sosial

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata tujuan pelesenan adalah untuk meningkatkan keselamatan dalam talian dan menangani kandungan berbahaya.

Teo Nie Ching berkata cadangan untuk melesenkan platform media sosial di Malaysia masih diperhalusi.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam proses memuktamadkan rangka kerja untuk melesenkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial beroperasi di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata cadangan itu masih diperhalusi.

“Cadangan penguatkuasaan pelesenan ini disasarkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang boleh diakses oleh pengguna di Malaysia, berdasarkan kriteria penilaian yang ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat.

“Cadangan penguatkuasaan pelesenan yang disasarkan juga dianggap berkadar kerana ketersediaan kandungan berbahaya yang tinggi di media sosial dan platform pemesejan internet.”

Beliau menambah, langkah pengawalseliaan dicadangkan bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian dan menangani kandungan yang melanggar undang-undang negara.

“Langkah-langkah ini selaras pendekatan dan perkembangan global semasa, tanpa berhasrat untuk menyekat kebebasan media,” katanya.

Teo menjawab soalan Shamshulkahar Deli (BN-Jempol), sama ada kementerian memutuskan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial beroperasi di negara ini mendaftar dengan SKMM.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli sebelum ini berkata kementerian sedang mengkaji keperluan untuk melesenkan penyedia platform besar seperti Google, Meta, dan TikTok yang menjana pendapatan melalui kandungan daripada organisasi media tempatan.

Dalam pada itu, Teo berkata 14% daripada permintaan SKMM terhadap penyedia platform media sosial untuk menurunkan kandungan antara 1 Jan dan 1 Mac tahun ini ditolak, menyatakan ia tidak melanggar garis panduan komuniti mereka.

“Oleh itu, ini menunjukkan bahawa ia bukan keputusan SKMM semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, 86% kandungan yang berjaya diturunkan terdiri daripada kes fitnah (73%), penipuan (15.63%) dan kandungan palsu (4.15%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.