Sindiket guna tong gas edar syabu tumpas

Sindiket guna tong gas edar syabu tumpas

Polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 50 tahun dalam serbuan Ahad lepas.

Khaw Kok Chin (tengah) berkata sindiket itu mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung yang kemudian dimasukkan ke tong gas diubah suai. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Miri, utara Sarawak melibatkan 21.7kg methamphetamine atau syabu bernilai lebih RM700,000 yang disembunyikan dalam tong gas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Khaw Kok Chin berkata dalam serbuan Ahad lepas, empat lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 50 tahun ditahan.

“Sindiket ini mula bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandi mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung, kemudian mengubah suai tong gas dengan memasukkan sejumlah dadah sebelum dihantar ke satu lokasi untuk dipasarkan ke negara jiran.

“Turut dirampas dalam operasi ini ialah wang tunai berjumlah RM52,000, barang kemas dengan anggaran nilai RM54,941.40 dan empat kenderaan bernilai RM194,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM1.02 juta,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak di sini.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing awal juga mendapati seorang daripada suspek positif dadah serta mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman tiga hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.