Kerajaan lulus 80% daripada hampir 4,000 pemohon kerakyatan, kata Saifuddin

Kerajaan lulus 80% daripada hampir 4,000 pemohon kerakyatan, kata Saifuddin

Permohonan selebihnya ditolak kerana dokumen tidak lengkap dan tidak melepasi tapisan keselamatan, kata menteri dalam negeri itu.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, individu yang memohon kewarganegaraan hendaklah menunggu notifikasi JPN tentang status permohonan sebelum meneruskan proses selanjutnya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Sebanyak 3,903 permohonan taraf kewarganegaraan bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan membabitkan individu bawah 21 tahun telah diputuskan setakat 7 Mac lepas, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri dalam negeri itu berkata, daripada jumlah itu, 80% permohonan diluluskan manakala selebihnya ditolak kerana dokumen tidak lengkap dan tidak melepasi tapisan keselamatan.

“Permohonan lengkap yang telah selesai kita proses, mereka akan dapat notifikasi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Apabila mereka dapat surat itu, barulah mereka boleh melakukan proses selanjutnya.

“Mereka kena datang JPN, buat sejumlah bayaran, sijil kewarganegaraan akan dikeluarkan dan kemudian boleh keluar dokumen diri berkaitan,” katanya pada sidang media, di kementeriannya hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menyerahkan surat keputusan kewarganegaraan kepada 35 orang kanak-kanak berusia antara enam hingga 16 tahun yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia di luar negara, seperti Kanada, Denmark, China, Hong Kong, Taiwan, India serta Qatar.

Menurut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan kewarganegaraan dibuat oleh ibu bapa atau penjaga mana-mana individu berusia bawah 21 tahun, maka kerajaan boleh membenarkan mereka didaftarkan sebagai warganegara jika salah seorang daripada ibu bapanya ialah warganegara.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, anak terdampar berusia 18 tahun ke atas masih berpeluang menjadi warganegara setelah pindaan Perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia dimuktamadkan.

Katanya, bagi anak terdampar yang telah meningkat usia, Perkara 15(a) menjadi laluan untuk mereka mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Tambahnya, beliau sedia bersemuka dengan mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam untuk mencari kata sepakat berhubung pindaan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.