GLC Kedah bayar tunggakan gaji RM560,000 sebelum Aidilfitri, kata Sim

GLC Kedah bayar tunggakan gaji RM560,000 sebelum Aidilfitri, kata Sim

Menteri sumber manusia berkata Kedah Agro Holdings Bhd turut memutuskan untuk menamatkan operasi menjelang akhir bulan ini.

Steven Sim sebelum ini berkata kementeriannya sedang meneliti kes Kedah Agro Holdings yang dilaporkan gagal membayar gaji kepada 24 pekerja sejak September 2023. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kedah Agro Holdings Bhd akan membayar gaji semasa dan tertunggak kira-kira RM560,000 sebelum Aidilfitri, kata Kementerian Sumber Manusia.

Menterinya Steven Sim berkata ini susulan mesyuarat antara Kedah Agro Holdings dan kerajaan negeri pada 17 Mac lalu berhubung tunggakan gaji dilaporkan.

“(Lembaga pengarah) telah memutuskan untuk menghentikan operasi mereka pada akhir Mac 2024,” katanya di Dewan Rakyat.

“Justeru, faedah penamatan dan gaji notis akan dibayar dalam tempoh tiga bulan mulai Mac 2024.”

Sim berkata, pekerja dinasihat memfailkan tuntutan gaji terhadap majikan, dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sedia menyiasat sebarang laporan difailkan.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung tempoh tindakan untuk kes kecuaian majikan seperti aduan pekerja kepada pihak berkuasa, contohnya kes tunggakan gaji dan caruman KWSP di salah sebuah anak syarikat bawah seliaan MBI Kedah.

Rabu lalu, Sim dilaporkan berkata, kementeriannya sedang meneliti kes Kedah Agro Holdings, yang dilaporkan gagal membayar gaji 24 pekerja sejak September 2023.

Kedah Agro Holdings milik Perbadanan Menteri Besar Kedah.

Sim memberitahu Dewan Rakyat, JTKSM menerima aduan daripada 24 pekerja berhubung tunggakan gaji pada 4 Jan lalu dan jabatan itu menjalankan siasatan dalam tempoh lima hari.

“Didapati aduan adalah berasas dan majikan tidak dapat membayar gaji kerana masalah kewangan. Justeru, JTKSM telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis pematuhan kepada majikan tersebut pada 15 Jan 2024 supaya mereka membayar gaji tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.