Pengarah Emraz Travel mengaku tak salah gagal bayar tuntutan bakal jemaah

Pengarah Emraz Travel mengaku tak salah gagal bayar tuntutan bakal jemaah

Syarikat pengendali pakej umrah itu dan seorang pengarahnya berdepan lapan pertuduhan gagal membayar balik perintah tuntutan wang berjumlah RM131,890 kepada lapan bakal jemaah.

Majistret membenarkan Pengarah Emraz Travel and Tours, Zulkarnain Endut diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri di pejabat KPDN setiap bulan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Syarikat pengendali pakej umrah, Emraz Travel and Tours Sdn Bhd bersama seorang pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas lapan pertuduhan gagal membayar balik perintah tuntutan wang berjumlah RM131,890 kepada lapan bakal jemaah.

Pengarahnya Zulkarnain Endut, 43, yang mewakili syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang memerintahkan syarikat itu membayar balik tuntutan wang antara RM4,900 hingga RM40,470 kepada lapan mangsa.

Zulkarnain dan syarikat itu selaku orang kena saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat TTPM, Aras 17, Menara Ansar, Jalan Trus di sini antara 24 Julai 2023 sehingga 10 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 itu memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membenarkan Zulkarnain diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan dikenakan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan bacaan pertuduhan terhadap seorang lagi OKS, iaitu pengarah syarikat Mazuin Mustafa, 43, yang juga isteri Zulkarnain kerana tidak dapat hadir ke mahkamah akibat cuti sakit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi manakala Zulkarnain dan syarikatnya itu diwakili peguam Hanif Hassan.

Untuk rekod, OKS sebelum ini dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret Putrajaya melibatkan 63 pertuduhan berjumlah RM589,031 pada 15 Jan lepas.

Kemudian atas kesalahan sama juga, OKS dituduh di Mahkamah Majistret Kota Bharu melibatkan 51 pertuduhan berjumlah RM503,221 pada 13 Feb lepas, sebelum dituduh di Mahkamah Majistret Seremban juga dengan 51 pertuduhan berjumlah RM473,730 pada 26 Feb lepas.

Pada 8 Mac lepas, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membatalkan lesen Emraz Travel and Tours berkuat kuasa 11 Mac lalu selaras perenggan 8(1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Syarikat itu didapati melanggar syarat lesen dan peruntukan Akta 482 serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.