
Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri menerima royalti RM21.1 juta sepanjang Februari hingga November tahun lepas daripada hasil perlombongan NR-REE, khususnya di Mukim Kenering Hulu Perak.
“Sekiranya kerajaan persekutuan menghalang Perak mengeksport, bermakna kami akan kehilangan hasil itu. Hasil dah ada nak jual ke mana,” katanya.
“Jadi kerana itu, kita minta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam supaya ada pengecualian kepada Perak untuk mengeksport sehingga wujud dasar ditetapkan kementerian.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak SADC Yahanis Yahya.
Saarani berkata, kementerian juga perlu mempertimbangkan penubuhan sebuah entiti yang menjadi pembeli kepada hasil NR-REE.
“Ada pelabur yang menawarkan diri membuka perindustrian yang berkaitan dengan huluan dan hiliran NR-REE, dan kita akan melihat perkara ini dengan lebih serius.
“Insya-Allah kita akan jumpa dengan kementerian untuk (meminta) keistimewaan bagi negeri Perak untuk mendahului. Kita mesti ada badan yang sanggup membeli dan juga memprosesnya dalam negara,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan setiap kerajaan negeri agar mematuhi pelaksanaan moratorium pengeksportan bahan mentah NR-REE yang dikuatkuasakan sejak 1 Jan lepas.
Nik Nazmi berkata, surat peringatan mengenai perkara itu dikeluarkan kepada semua kerajaan negeri pada 6 Mac lepas.