Stoking kalimah Allah: Kilang di Batu Pahat disiasat

Stoking kalimah Allah: Kilang di Batu Pahat disiasat

Exco Johor Mohd Fared Mohd Khalid seru umat Islam beri kepercayaan kepada siasatan polis dan bersabar.

Exco Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata kerajaan negeri menyokong penuh tindakan perundangan dan sedia membantu jika perlu. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Kilang didakwa mengeluarkan stoking tertera kalimah Allah di Batu Pahat disiasat polis, kata Exco Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Katanya, perkara itu disahkan ketua polis Batu Pahat sambil menasihatkan orang Islam bersabar.

“Kita percaya polis akan melaksanakan tugas mereka dan saya berharap semua orang Islam bersabar,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di Kluang.

Fared berkata, pihaknya menyokong semua tindakan perundangan kepada pihak berkenaan dan sedia membantu pihak berkuasa terbabit.

“Kita akan ambil tindakan sebaiknya sekiranya agensi penguat kuasa kita diperlukan untuk buat serbuan dan operasi bersama, kita akan menggerakkan semua agensi,” katanya.

Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya penjualan stoking tertera kalimah Allah itu dan memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memainkan sentimen keagamaan seperti itu.

“Kita percaya hal ini tidak akan berulang lagi. Untuk bangsa Johor (minta) untuk semuanya berterusan memantau, membantu kita agensi kerajaan negeri dan melaporkan kepada pejabat kadi, pejabat polis daerah sekiranya ada kecurigaan pada hal hal berkaitan dengan masalah ini,” katanya.

Rabu lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.