
Finn Choong, bekas presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, berkata langkah itu memberi penjimatan kepada kerajaan dalam kos perolehan tanah dan menyegarkan kawasan perbandaran, terutama di kawasan berkepadatan seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Di Pulau Pinang sahaja terdapat sejumlah signifikan tanah kurang dibangunkan, kira-kira satu pertiga di negeri itu.
“Bangunan PPR bertingkat rendah dan tua boleh ditransformasikan kepada struktur lebih tinggi, membolehkan penggunaan lebih cekap tanah,” katanya kepada FMT.
Choong berkata, strategi pembaharuan bandar itu sejajar rancangan kerajaan meningkatkan bekalan rumah kos rendah menerusi Program Residensi Rakyat (PRR), yang mana harganya ditetapkan RM60,000 seunit.
Katanya, kos bagi kerajaan dianggarkan RM300,000 bagi setiap unit PRR adalah berpatutan andai kos tanah ditangani.
Beliau berkata, pemaju perlu diberi insentif untuk mengambil bahagian dalam program tersebut demi kejayaannya pelaksanaanya.
Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, berkata setiap flat PRR dicadangkan mempunyai keluasan minimum 750 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air. Katanya, kerajaan terbuka menerima idea bagi menambah baik projek berkenaan.
Unit PPR ketika ini pada harga RM35,000 di Semenanjung dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak, selain boleh disewa pada adar RM124 sebulan. Hanya keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 layak mendudukinya.
Terdapat 159 projek PPR melibatkan 99,000 unit di seluruh negara.
Dalam Belanjawan 2024, sejumlah RM2.47 bilion diperuntuk bagi pembinaan PPR tahun ini, dengan sebahagiannya didanai sektor swasta.
Ahli ekonomi, Geoffrey Williams berkata walaupun PRR idea bernas, adalah penting memastikan rakyat akhirnya mempunyai hak milik unit, sekali gus memberi motivasi kepada mereka menyelenggarakannya.
“Tanpa insentif wajar bagi pembaikan, hartanah akan merosot terutama apabila tuan tanah mengabaikan penyelenggaraan terutama dalam kes tunggakan sewa,” katanya.
“Dengan menawarkan kediaman pada RM60,000, mereka bergaji minimum sekalipun berpotensi memilikinya melalui pinjaman. Ia memudahkan pembangunan semula kejiranan usang juga,” katanya.