
Peguam BDS Malaysia, M Reza Hassan, memaklumkan pusingan perbincangan seterusnya akan diadakan pada 30 April, tertumpu untuk menyelesaikan “dua atau tiga lagi isu”.
“Atas sebab undang-undang, saya tidak dapat mendedahkan kandungan mediasi namun tahap di mana kita berada sekarang adalah baik, dan kami akan berbincang lanjut pada 30 April. Ia sangat positif,” katanya kepada media di pekarangan mahkamah, sambil ditemani sekitar 50 penyokong perjuangan Palestin.
Katanya, sesi di hadapan mediator Zaman Noor berlangsung hampir dua jam.
Dalam pada itu, peguam mewakili McDonald’s yang enggan dinamakan berkata pasukan undang-undang tidak akan mengeluarkan kenyataan ketika proses mediasi berjalan.
Disember lalu, McDonald’s menerusi pemilik francais Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, menyaman BDS kerana didakwa memfitnah francais makanan segera itu “bersekongkol dengan Israel”.
Gerbang Alaf Restaurants menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada BDS, dan ganti rugi RM6 juta, melibatkan kehilangan pendapatan RM3 juta, RM1.5 juta bagi pekerja diberhentikan, dan RM1.5 juta material tamat tempoh.
Ia juga memohon injunksi terhadap BDS untuk menghentikan kumpulan itu daripada gesaan memboikot.
Pemilik francais itu merujuk kepada beberapa poster yang mana logo McDonald’s digunakan, dikongsi BDS, menuduh syarikat “mengaut untung daripada genosid”.
Bagaimanapun, BDS menafikan pihaknya memulakan boikot restoran McDonald’s di Malaysia, sambil mendakwa ia adalah “protes organik” yang disokong rakyat.
Sejak Israel melancarkan serangan terhadap Hamas di Gaza pada 7 Okt, francais seperti McDonald’s dan Starbucks berdepan seruan boikot di Malaysia kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Tel Aviv.
Susulan itu, boikot berjalan di seluruh negara terhadap dua rangkaian restoran tersebut yang menjejaskan pendapatan pemilik, Gerbang Alaf Restaurants dan Berjaya Food.