Guna kekerasan terhadap penguat kuasa, peniaga dipenjara 15 hari

Guna kekerasan terhadap penguat kuasa, peniaga dipenjara 15 hari

Mohd Amirul Azmir Md Akhir turut didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 14 Mac lalu.

Mohd Amirul Azmir Md Akhir mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Khamis lalu. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 15 hari serta denda RM3,500 di Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Khamis lalu.

Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Amirul Azmir Md Akhir, 33, bermula dari tarikh sabitan dan jika tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dipenjara lapan bulan.

Dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu pembantu penguat kuasa MBAS daripada menjalankan kewajipannya, menyebabkan pergelutan berlaku dengan menendang dan mencampakkan bangku kecil kepada penguat kuasa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11.38 malam di kawasan Dataran Alor Setar Lebuhraya Darulaman, 14 Mac lalu.

Sehubungan itu dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien manakala tertuduh diwakili peguam Zuriyah Mhd Nordin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.