
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, yang membentangkan rang undang-undang tersebut, berkata penambahbaikan pada Seksyen 15A akta tersebut membenarkan majlis perwakilan pelajar dan badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan, tertakluk pada peraturan dan undang-undang.
“Bagaimanapun, pindaan kepada Seksyen 15A ini masih tidak membenarkan pelajar atas kapasiti individu untuk terlibat dengan aktiviti pungutan wang atau penerimaan wang atau apa-apa sumbangan lain melainkan jika tindakan tersebut dibuat atas nama atau bagi pihak MPP atau mana-mana badan pelajar universiti,” katanya kepada Dewan Rakyat.
Seramai 23 Ahli Parlimen membahaskan RUU itu yang dibentangkan bagi bacaan kedua dan ketiga oleh Zambry hari ini.
Terdahulu ketika perbahasan, beberapa wakil rakyat pembangkang mendakwa Pakatan Harapan (PH) ingin menghapuskan Auku.
Pada 10 Dis 2018, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Auku membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c), yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik.
Akta itu mengandungi peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej universiti awam.
Dalam manifesto bagi PRU15, Pemuda PH berjanji memansuhkan Auku. Janji itu juga terkandung dalam manifesto PH bagi PRU14.
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sebelum ini berkata, jawatankuasa kerja untuk pemansuhan akta itu dibentuk dan ditugaskan untuk menyediakan draf akta baharu yang menggabungkan kedua-dua Auku dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.
Bagaimanapun, usaha itu terhenti selepas pentadbiran PH tumbang pada Februari 2020. Penggantinya, Noraini Ahmad dilaporkan berkata, kedua-dua akta itu tidak perlu diganti.
Menteri pendidikan tinggi terdahulu, Khaled Nordin, berkata kerajaan tidak bercadang memansuhkan Auku kerana ia akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutama semasa tempoh peralihan akta itu.