
Menteri Anwar Ibrahim berkata antara perkara yang sedang dimuktamadkan adalah jenis barang yang akan dikenakan HVGT dan nilai ambang penentuan barang barang bernilai tinggi.
“Dasar ini akan dikaji dan ditentukan dengan teliti dalam memastikan ianya tidak memberi kesan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam jawapan yang bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Anwar, yang juga perdana menteri, menjawab Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Bharu) yang minta penjelasan mengenai cukai barangan mewah ke atas barangan kemas untuk nilai cukai bagi setiap RM10,000, dan bagaimana ia beri kesan kepada golongan M40 dan ke bawah.
“HVGT akan ditentukan mengikut jenis dan kategori barang berdasarkan nilai ambang harga barang,” katanya.
Pada 1 Mac lepas, kementerian memaklumkan rang undang-undang berkenaan HVGT dicadangkan untuk dibentangkan pada sesi Parlimen yang sedang bersidang.
Sekiranya diluluskan, perundangan itu dicadangkan berkuat kuasa pada 1 Mei, menurut kementerian dalam jawapan di laman sesawang Parlimen.
Kerajaan juga dijangka mengutip hasil cukai sebanyak RM700 juta setahun daripada pelaksanaan HVGT, menurut laporan media.