Belum daftar Padu, tiada rekod bantuan; risiko keciciran di 4,700 lokaliti

Belum daftar Padu, tiada rekod bantuan; risiko keciciran di 4,700 lokaliti

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sebanyak 4,752 lokaliti dikenal pasti di mana terdapat penduduk tidak punyai pendaftaran di bawah Padu mahupun program bantuan sebelum ini.

Padu yang mengandungi profil individu dan isi rumah berperanan untuk memastikan mereka yang layak menerima manfaat daripada inisiatif kerajaan.
PUTRAJAYA:
Menteri ekonomi berkata terdapat penduduk di lebih 4,700 lokaliti mempunyai risiko keciciran daripada menerima bantuan kerajaan, kerana belum mendaftarkan data dalam Pangkalan Data Utama (Padu) dan tiada rekod bantuan dalam pangkalan data sedia ada.

Dalam taklimatnya kepada pemberita di Menara Prisma, Rafizi Ramli memaklumkan sebanyak 4,752 lokaliti dikenal pasti di mana terdapat penduduk tidak mempunyai sebarang pendaftaran di bawah Padu setakat ini, mahupun program-program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.

“Sedangkan kawasan itu telah dikenal pasti sebagai kawasan berpendapatan sederhana dan rendah… kita ada sebanyak 4,752 kawasan di seluruh negara yang kini berisiko keciciran,” katanya.

Padu yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas berperanan untuk memastikan mereka yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada inisiatif kerajaan.

Ia akan jadi sumber rujukan utama semua agensi kerajaan dalam membuat keputusan, untuk menambah baik kecekapan penyampaian dan perbelanjaan.

Setakat 17 Mac, sebanyak 5.43 juta individu mengemaskini data Padu, selepas ia dilancarkan pada 2 Jan lepas. Tarikh tamat pendaftaran ditetapkan pada 31 Mac.

Dalam huraiannya kepada pemberita, Rafizi memaklumkan Selangor mendahului daripada risiko keciciran kerana “1,282 kawasan belum lagi diliputi baik daripada data bantuan sedia ada ataupun daripada Padu.”

Ini diikuti dengan Kuala Lumpur (992 kawasan), Sarawak (765), Sabah (620), Johor (271), Pulau Pinang (243), Kelantan (228), Kedah (157), Pahang (70), Perak (67), Terengganu (35), Negeri Sembilan (8), Perlis (7), Putrajaya (5), dan Melaka (2).

Rafizi berkata kawasan-kawasan berkenaan dikenal pasti selepas data daripada semua jabatan kerajaan termasuk daripada senarai bantuan sedia ada dipadankan dengan pendaftaran Padu setakat ini.

Katanya, data-data yang lebih banyak akan membolehkan kerajaan mengesan kawasan paling kecil mengikut bangunan.

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan akan boleh mengesan rumah pangsa yang didiami orang susah “tapi bila tengok dalam semua senarai penerima sebelum ini, tidak ada pun yang dapat bantuan dekat situ.”

“Bila tengok pula Padu, dah lah tak dapat bantuan sebelum ini dia pula tak daftar. Jadi kalau ada program kerajaan, sudah tentu lah golongan ini tercicir besar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.