
Women’s March Malaysia (WMMY) berkata, notis disampaikan kepada dua peserta perarakan, seorang ahli jawatankuasa dan seorang wakil guaman kumpulan itu mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
“Empat individu ini dipanggil untuk hadir di IPD Dang Wangi pada 2.30 petang esok,” kata WMMY dalam kenyataan.
Kumpulan itu mempersoalkan “kitaran berulang” polis membuka siasatan terhadap mereka yang menggunakan hak untuk berhimpun secara aman.
“Kami ingin mengingatkan (pihak berkuasa) bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara, dan semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata,” katanya.
Menurut WMMY, jawatankuasanya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai siasatan polis berhubung perarakan itu.
Pada 10 Mac, Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan telah dibuka berhubung perarakan itu, yang diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa, dan WMMY sebagai penganjur, akan dipanggil untuk memberikan kenyataan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman memperuntukkan sekatan dan syarat-syarat mengenai tarikh, masa dan lokasi perhimpunan aman diadakan, manakala Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 menyentuh tentang “kelakuan aib”.
Pada 9 Mac, kira-kira 200 peserta berkumpul di luar kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
WMMY sebelum ini mendakwa polis menolak notis mereka berhubung perarakan itu empat kali sebelum ia akhirnya diterima, namun perkara ini dinafikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid.
Allaudeen berkata, kumpulan itu menyerahkan notis pada 1 Mac, tetapi ia dikembalikan kerana mereka juga dikehendaki melengkapkan borang yang mengandungi 14 soalan.