Pasangan Aaron-Soh tekad beri segalanya pada final Seluruh England

Pasangan Aaron-Soh tekad beri segalanya pada final Seluruh England

Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-16, 21-15, awal pagi tadi.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengulangi pencapaian lima tahun lalu apabila layak ke perlawanan akhir Seluruh England. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berazam memberikan segalanya apabila menentang lawan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada perlawanan akhir Seluruh England.

Pasangan itu mengulangi pencapaian lima tahun lalu selepas menewaskan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-16, 21-15 dalam tempoh 36 minit dalam aksi separuh akhir di Utilita Arena, Birmingham awal pagi tadi.

Aaron menegaskan tugas mereka masih belum selesai kerana akan berdepan aksi cukup penting di perlawanan akhir.

“Selepas lima tahun, akhirnya kami sekali lagi dapat melangkah ke perlawanan akhir Seluruh England. Saya sangat gembira dengan prestasi kami hari ini tetapi tugas masih belum selesai kerana ada satu lagi perlawanan.

“Kami akan dapatkan rehat yang cukup dan sedia untuk berikan segala-galanya pada perlawanan akhir nanti. Hari ini kami hanya fokus pada permainan sendiri dan mainkan peranan masing-masing,” katanya kepada BWF menurut Kosmo.

Pada edisi 2019, pasangan nombor lima dunia itu terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tewas kepada beregu legenda Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Seluruh England dalam acara beregu lelaki adalah pada 17 tahun lalu menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang memenangi edisi 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.