Kok akan lapor polis video kaitkannya dengan ‘dakwaan peras ugut’

Kok akan lapor polis video kaitkannya dengan ‘dakwaan peras ugut’

Video itu mendakwa sebuah persatuan di bawah naungan Ahli Parlimen Seputeh itu mengumpul dana secara haram daripada peniaga di Taman OUG.

Teresa Kok mahu tindakan diambil ke atas ‘setiap fitnah dan dakwaan’ terhadapnya.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan membuat laporan polis esok berhubung sebuah video TikTok mengaitkannya dengan dakwaan kutipan dana haram daripada peniaga di Taman OUG, Kuala Lumpur.

Wakil rakyat DAP itu mahu tindakan diambil ke atas “setiap fitnah dan tuduhan” terhadapnya dalam video disiarkan akaun TikTok “AATV News Online”.

Video itu dimuat naik hari ini bertajuk “OUG traders unite in opposing the illegal collection of funds from an association under the patronage of Teresa Kok”.

Kok akan memfailkan laporan di IPD Brickfields pada 11 pagi esok.

Dalam video itu, seorang peniaga ditemubual berkata, kumpulan itu mendakwa mewakili Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi tidak dapat mengemukakan sebarang surat kebenaran menyokongnya.

Katanya, kumpulan terbabit mendakwa mengutip dana bagi tujuan pengurusan sisa.

Video itu termasuk sidang media oleh bekas ahli DAP, Tony Tan yang mendakwa sebuah persatuan sebelum ini “menjual lesen” antara RM3,000 dan RM30,000 setiap satu kepada peniaga untuk beroperasi.

Tan berkata, laporan polis sudah dibuat.

Beliau turut mendakwa peniaga “hidup dalam ketakutan” dan cuba menemui Kok berhubung perkara itu tetapi gagal.

Seorang lagi individu dikatakan peniaga dalam sidang media itu mendakwa seorang “gengster” memberi amaran kepadanya supaya “berhati-hati” jika tidak membayar mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, 27 laporan diterima tahun lalu dan 19 lagi tahun ini berhubung isu itu.

Menurutnya, isu itu berpunca daripada pertikaian antara jawatankuasa lama mengetuai persatuan peniaga di Taman OUG dan jawatankuasa baharu yang dipilih baru-baru ini.

“Bukannya wang itu dikutip secara haram. Ia lebih kepada rasa tidak puas hati antara jawatankuasa lama dan baharu, dengan jawatankuasa baharu mengenakan bayaran lebih tinggi sedikit berbanding dulu.”

Beliau berkata, beberapa laporan masih disiasat, tetapi kebanyakannya sudah dirujuk kepada DBKL untuk tindakan lanjut.

FMT sudah menghubungi DBKL untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.