
Beliau berkata, ketika ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) masih menilai jumlah sebenar kerosakan yang dialami akibat bencana itu.
“Secara kasar, kita menganggarkan kerosakan keseluruhan mungkin hampir RM1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Sultan Mahmud di Bandar Al Muktafi Billah Shah hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Rubiah Wang serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Ahmad Said.
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, jumlah kerugian termasuk kerosakan prasarana, seperti jalan persekutuan yang sedang dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya, dan jalan di luar bandar oleh KKDW.
Katanya, bantuan membaiki rumah yang terjejas dan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir juga telah disalurkan oleh Nadma kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana pada peringkat negeri dan daerah.
Bagaimanapun, Zahid menzahirkan kekecewaan kerana berlaku pengagihan bantuan yang tidak sama rata di beberapa negeri tertentu pada musim banjir tahun lepas.
Beliau mendakwa, situasi itu berlaku disebabkan perbezaan “warna” politik sehingga menyaksikan individu yang layak dan sepatutnya menerima bantuan tidak disenaraikan.
“Saya fikir ini sesuatu yang harus dielakkan. Kita mahu wujudkan kesamarataan dan keadilan kepada semua mangsa tetapi ia tidak berlaku di beberapa negeri tertentu,” katanya.