
Katanya, polis, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta pihak bertanggungjawab dalam kontroversi itu.
“Saya rasa sedih dan dukacita dengan apa yang berlaku. Kita berada dalam bulan Ramadan, ada yang menyatakan jangan terlampau sensitif dengan isu Allah letak di stoking, tetapi ini tidak boleh (dibiarkan).
“Allah ini satu kalimah yang sangat tinggi di mata orang Islam. Allah adalah pencipta kita dan perbuatan meletakkan Allah di kaki adalah satu penghinaan yang tidak boleh kita remehkan,” katanya menurut Bernama selepas melancarkan Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdulaziz Al-Saud di Putrajaya.
Awal minggu ini, KK Super Mart memohon maaf selepas didapati menjual stoking itu di kedainya. Menurutnya, stoking itu produk konsainan daripada vendor dan ia menuntut penjelasan daripada mereka.
Pengasasnya, KK Chai dilaporkan berkata, pemeriksaan di 800 cawangannya di seluruh negara dilakukan segera dan mendapati 14 pasang stoking tertera kalimah Allah dalam tiga premisnya.
Chai berkata, vendor terbabit sudah memohon maaf secara terbuka.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggesa umat Islam memboikot cawangan KK Super Mart dan membuat laporan polis.
Beliau turut menggesa syarikat itu memasang sepanduk memohon maaf atas insiden itu dan memberi amaran tindakan lebih drastik, jika gagal berbuat demikian.
Walaupun KK Super Mart sudah memohon maaf, Na’im berkata, Jakim diarah memanggil wakil pengurusan syarikat itu bagi membantu siasatan untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kemaafan itu seperkara, tetapi yang pastinya kita harap pada masa depan, KK Mart tidak ambil remeh perkara sebegini dan mana-mana jabatan audit perlu tengok dahulu barang yang dibawa masuk.
“Perkara sensitif susah nak dimaafkan. Diharap KK Mart dan pemborong serta penjual lain mengambil iktibar dengan apa yang berlaku. Ia sangat sensitif, kena beri ruang kepada umat Islam (untuk memaafkan perbuatan ini).”