AKSB naik tarif air, tapi masalah bekalan tak ubah, penduduk penat mengadu

AKSB naik tarif air, tapi masalah bekalan tak ubah, penduduk penat mengadu

Lebih mengecewakan, masalah bekalan air semakin teruk sejak beberapa minggu sebelum Ramadan, menyukarkan penduduk melakukan aktiviti harian.

Lebih 300 penduduk di tiga kampung di Pasir Tumboh penat mengadu masalah bekalan air kepada AKSB yang hanya mengulangi alasan sama, walaupun tarif air sudah diselaraskan.
KOTA BHARU:
Lebih 300 penduduk di tiga kampung di Pasir Tumboh di sini kecewa bekalan air daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) masih tidak berubah, walaupun tarif air baharu sudah dilaksanakan.

Lebih mengecewakan, masalah bekalan air semakin teruk sejak beberapa minggu sebelum Ramadan, menyukarkan penduduk melakukan aktiviti harian, termasuk memasak, membasuh pakaian, malah ada yang membina telaga tiub di kediaman masing-masing dan terpaksa mengeluarkan kos mencecah ribuan ringgit.

Penghulu Kampung Limbat, Bukhari Daud, 67, berkata penduduk sudah penat membuat aduan kepada AKSB yang bukan hanya tidak menyelesaikan masalah, malah terpaksa “menelan” jawapan pahit untuk diterima.

“Jawapannya termasuk mengulangi alasan sama seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu akibat kemarau dan berlaku kebocoran akibat kerosakan paip lama. Kami beranggapan apabila penarafan baharu dilaksanakan, perkhidmatan AKSB akan ada peningkatan, namun ia masih di takuk lama,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bukhari berkata, masalah ketiadaan air atau terputus bekalan bukan perkara baharu, bahkan berlanjutan sejak sekian lama dan seharusnya sudah lama dapat ditangani.

Seorang penduduk, Adnan Ahmad, 52, berkata AKSB dilihat berada di zon selesa kerana ia satu-satunya syarikat pengurusan air beroperasi di Kelantan tanpa saingan daripada mana-mana syarikat lain.

“Kewujudan syarikat lain dalam pengurusan air negeri perlu ada bagi memberi pilihan kepada rakyat mendapatkan perkhidmatan lebih baik, selain memberi persaingan sihat kepada AKSB.”

Tukang paip, Muhd Zakri Baharudin berkata, beliau bersama tiga pekerjanya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan memasang enjin pam air di kediaman sejak awal tahun ini.

“Antara kawasan yang banyak mendapatkan khidmat kami ialah di jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Bachok, yang kebanyakannya berdepan masalah bekalan air teruk. Kebanyakan pelanggan kami memasang enjin untuk mengepam air dari telaga tiub atau air AKSB yang mengalami tekanan rendah.”

Sebelum ini, AKSB mewar-warkan pelarasan tarif air dapat meningkatkan pendapatannya untuk digunakan bagi operasi dan kerja pembangunan infrastruktur, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.