Badan Peguam lulus usul cabar keputusan ringan hukuman Najib

Badan Peguam lulus usul cabar keputusan ringan hukuman Najib

Bekas presiden Badan Peguam, Zainur Zakaria berkata, usul itu diluluskan dalam mesyuarat agung dengan 'majoriti besar'.

Badan Peguam berkata, ia akan memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam kes SRC International Najib Razak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Agung Badan Peguam hari ini meluluskan usul untuk memfailkan permohonan bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman Najib Razak atas sabitan rasuah SRC International.

Bekas presiden Badan Peguam, Zainur Zakaria memberitahu FMT, usul itu diluluskan dengan “majoriti besar”.

Presiden Badan Peguam yang baharu, Ezri Abdul Wahab dalam sidang media berkata, 238 ahli mengundi menyokong usul itu.

Zainur yang mengemukakan usul itu untuk perbincangan ahli, mendakwa Lembaga Pengampunan “bertindak ultra vires di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan” dalam mengurangkan hukuman penjara 12 tahun Najib kepada enam tahun serta denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Najib hanya menjalani hukuman penjara satu setengah tahun, justeru permohonannya untuk pengampunan sepatutnya tidak diproses dan ditentukan sejak awal.

Zainur turut mendakwa Najib “tidak menunjukkan sebarang penyesalan atau kekesalan atas penglibatannya dalam hal ehwal 1MDB” dan terus menuduh mahkamah tidak melayannya secara adil.

Mahkamah Persekutuan pada 2022 mengesahkan sabitan Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang untuk RM42 juta dana SRC International.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoritinya turut menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan serta hukumannya dalam kes SRC International.

Sementara itu, R Jayabalan, wakil dari Badan Peguam Johor berkata, usul menggesa umur persaraan hakim dinaikkan daripada 66 kepada 70 tahun tidak diluluskan.

“Mereka yang menyertai perbahasan (usul itu) berpandangan lebih baik serah kepada badan kehakiman.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.