Malaysia sita RM990 juta harta berkait dadah sejak 2019

Malaysia sita RM990 juta harta berkait dadah sejak 2019

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap di Vienna berkata turut dibongkar 98 makmal sulit.

Malaysia capai kemajuan ketara memerangi dadah sejak lima tahun lalu, kata Saifuddin Nasution Ismail pada Segmen Peringkat Tertinggi Suruhanjaya Mengenai Narkotik Dadah ke-67 Pejabat Jenayah dan Dadah PBB. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia berjaya membanteras jenayah berkaitan dadah bernilai RM990 juta (USD210 juta) sejak 2019, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, menyedari kaitan antara pengedaran dadah, rasuah, dan lain-lain bentuk jenayah terancang, Malaysia kekal teguh melaksanakan strategi berkesan memerangi ancaman berkenaan melalui langkah penguatkuasaan undang-undang ketat.

“Selain itu, agensi penguatkuasaan undang-undang kita telah berjaya membongkar 98 makmal sulit dan menahan 351 individu yang terlibat dalam kegiatan haram itu.

“Kita juga telah mencapai kemajuan ketara sejak lima tahun lepas, tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya pada Segmen Peringkat Tertinggi Suruhanjaya Mengenai Narkotik Dadah ke-67 Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) di Vienna, Austria pada Khamis.

Teks ucapannya dihantar kepada Bernama.

Saifuddin berkata, dalam mengawal pengedaran dadah dan bahan psikotropik, sebanyak 16,865 kebenaran import dan eksport atau permit telah dikeluarkan sejak 2020 hingga tahun lalu.

“Penemuan makmal analisis mengenai pengesanan bahan baharu berfungsi sebagai asas untuk mengawal selia bahan-bahan berkaitan di bawah undang-undang negara kita,” katanya.

Beliau berkata pendekatan proaktif dalam menangani cabaran disebabkan kemunculan ubat baharu dan bahan psikoaktif baharu (NPS), selain memastikan langkah kawalan mantap dapat disediakan bagi mengurangkan perluasan dadah dan bahaya yang mungkin timbul.

Saifuddin berkata, Malaysia berikrar meningkatkan kerjasama antarabangsa dan serantau dalam menangani masalah dadah dunia selaras obligasi perjanjian serta Pelan Strategik Antidadah 2021-2025 Malaysia.

“Malaysia akan terus mengukuhkan perkongsian dengan negara lain dan organisasi antarabangsa untuk menangkis pembuatan, pengeluaran, pengedaran dan pengedaran haram dadah terlarang.

“Kita akan meneruskan usaha mengembangkan lagi kerjasama dua hala terutama dengan negara jiran terdekat, dan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif serantau dan global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.