
Terdahulu, lebuh raya itu merekodkan kira-kira 140,000 pengguna sehari pada 2021 dan melonjak kepada hampir 200,000 pengguna sehari pada 2022 susulan tamatnya perintah kawalan pergerakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Mohammad Azlan Abdullah, berkata prestasi itu menjadi cerminan kepentingannya dalam menambah baik kesalinghubungan di wilayah terbabit serta menepati keperluan pengangkutan yang kian meningkat di Kajang, kawasan berpenduduk tinggi.
“Lebuh raya ini bukan sahaja menyediakan kemudahan perjalanan, malah dianggap sebagai keperluan, lebih-lebih lagi memandangkan Kajang adalah antara pekan paling padat di Malaysia. SILK berfungsi selaku lingkaran jalan utama Kajang, menyediakan akses ke beberapa lokasi penting sekitarnya.

“Ia adalah laluan penting pengguna untuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur serta destinasi lain seperti Cheras, Sungai Long, Balakong, Putrajaya, Semenyih, Bangi, KLIA dan Seremban.”
Lebuhraya SILK adalah sepanjang 37km dari Mines, Seri Kembangan ke Putrajaya dengan dua lorong di kedua-dua hala. Terdapat 12 persimpangan ditempatkan secara strategik serta empat plaza tol di sepanjang lebuh raya itu.
Azlan berkata, lebuh raya itu terbukti memberi manfaat kepada pengguna dari segenap peringkat sejak mula beroperasi pada 2008.

“Lebuh raya ini membolehkan pengguna memintas kesesakan dengan lancar dan mengurangkan masa perjalanan dari utara dan selatan Kajang secara berkesan.
“Ia menghubungkan pengguna dengan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (Besraya), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya.
Beliau berkata, usaha berterusan dijalankan bagi memastikan penjagaan yang baik untuk permukaan jalan, kemudahan kecemasan dan kelengkapan lebuh raya lain.

“Projek pelebaran lorong dari Sungai Ramal ke persimpangan Uniten yang giat dijalankan dijangka melancarkan lagi trafik di kawasan sekitar Kajang,” katanya.
SILK diambil alih pada 2017 oleh Prolintas, yang memiliki pegangan pasaran sebanyak 15% dalam rangkaian lebuh raya di Lembah Klang.
Kini, SILK antara aset lebuh raya terlibat dalam struktur amanah perniagaan bawah Prolintas Infra Business Trust yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 25 Mac ini. Prolintas Infra BT diuruskan oleh Prolintas Managers Sdn Bhd selaku pengurus pemegang amanah.
