
Kini, selepas mendaki tangga kerjaya sehingga menjadi penolong pengurus di cawangan Black Canyon Aeon Klebang, barulah Siti sedar bagaimana latihan diperolehnya menerusi Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) melengkapkan dirinya untuk mencapai tahap itu.
Katanya, latihan selama empat bulan itu membuka ruang baginya melibatkan diri sepenuhnya dalam setiap aspek operasi restoran, dan apabila dibayar gaji kebimbangannya mengenai kewangan dapat dikurangkan.
“Walaupun terpaksa berpindah jauh dari rumah untuk menjalani latihan industri, saya dapat menampung beban kewangan terutama apabila dibandingkan dengan rakan yang menjalani latihan tanpa dibayar. Kestabilan ini membolehkan saya fokus sepenuhnya dan menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh latihan.
“Selepas melengkapkan latihan industri, saya terkejut tetapi gembira apabila syarikat itu menawarkan saya menjalani latihan sebagai pembantu pengurus restoran, dan seterusnya bekerja sebagai pembantu pengurus,” katanya kepada FMT.
MySIP, inisiatif TalentCorp bawah pengawasan Kementerian Sumber Manusia, bertujuan menawarkan latihan sepadan dengan keperluan industri sambil membantu graduan bersedia menceburi pasaran kerja.
Akta Kerja 1955 tidak melindungi pelatih kerana mereka bukan pekerja mahupun kontraktor bebas, dan pekerjaan mereka adalah untuk tujuan latihan. Tetapi tanpa undang-undang melindungi keselamatan, kebajikan dan bayaran bagi pelatih industri, majikan boleh mengambil kesempatan menganggap mereka sebagai tenaga kerja berkos rendah.
Bagi mengelakkan perkara ini, MySIP menyediakan latihan yang dijamin berbayar untuk pelajar, menggabungkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional dengan elaun yang bersesuaian dengan latar belakang akademik mereka.
Dion Chan, 23, yang menjadi pelatih eksekutif pembangunan perniagaan di pusat beli-belah 1 Utama menerusi MySIP berkata, elaun itu membolehkan pelatih berasa selamat agar mereka dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran dan mencapai prestasi optimum.
Selepas menamatkan latihan industri, Chan mendapat jawatan tetap di syarikat itu, dan terlibat secara aktif dalam projek utama selama tiga tahun setakat ini.
“Manfaatnya, persekitaran yang menyokong dan pendedahan kepada pelbagai aspek industri sangat berharga untuk kemajuan (kerjaya) saya,” katanya.
“Matlamat latihan industri adalah menawarkan pengalaman praktikal di lapangan kepada pelajar. Walaupun segelintir pelatih industri menerima bayaran, ada yang tidak. Bagaimanapun, memandangkan kos sara hidup tinggi terutama di kawasan bandar, bayaran yang setimpal untuk pelatih adalah penting sebagai tanda penghargaan.”
Imran Norazli, 25, bersetuju dengan berkata terdapat kelebihan ketara apabila memohon penempatan latihan menerusi MySIP.
“Semua syarikat yang ditawarkan di platformnya dijamin akan membayar elaun, dan ini sesuatu yang meyakinkan bagi pelatih yang mahukan bayaran setimpal.
“Saya sangat mengesyorkan MySIP kepada sesiapa yang mencari penempatan latihan industri,” kata Imran, yang menerima tawaran kerja selepas menamatkan latihan dalam bidang perkhidmatan pelanggan di Bandar Utama City Centre Sdn Bhd.
Latihan berbayar hasil bakat berkualiti
Pengurus Perkhidmatan Pelanggan 1 Utama, Wan Norzety Elany Wan Muhamood, berkata pelatih patut dibayar memandangkan kos sara hidup di bandar tinggi. Selain itu, katanya, apabila pelatih dibayar, mereka akan lebih bersemangat dan menunjukkan prestasi lebih baik.
“Apabila pelatih industri dibayar, prestasi mereka lebih baik, dan ini menjurus kepada penghasilan lebih banyak bakat berkualiti yang menguntungkan syarikat.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami mengambil ramai pelatih industri sebagai kakitangan tetap disebabkan kualiti (kerja) mereka,” katanya
Sementara itu, Pengurus Pengambilan Pekerja Johnny’s Restaurant & Black Canyon, Fei Fei Poh, berkata pelatih mesti dilayan dengan penuh hormat kerana mereka menyertai industri untuk belajar dan menajamkan potensi.
“Majikan tidak boleh menganggap pelatih industri sebagai tenaga kerja yang murah. Mereka berdedikasi dan mampu menunjukkan prestasi pada tahap yang sama dengan kakitangan biasa.
“Latihan industri memberi mereka pengalaman amali yang tidak ternilai,” katanya.
Bagi majikan yang layak, MySIP menawarkan potongan cukai berganda bagi setiap pelatih, meliputi elaun dan pelbagai perbelanjaan seperti latihan, penginapan, perjalanan, makanan dan kos komunikasi digital.
Majikan boleh mencari pelatih yang sesuai melalui platform MyNext TalentCorp.